CYBERJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sejak Jumaat lalu disahkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam, Ahad.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan anaknya, Fatihah Salahuddin, menerusi akaun media sosialnya.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada jam 9.23 malam, 23 Julai 2023,” tulisnya.
Salahuddin, 62, sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam, Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Allahyarham bagaimanapun telah selamat menjalani pembedahan pada pagi Sabtu dan berada dalam keadaan stabil di HSB.
Bagaimanapun, Allahyarham ditidurkan dan dipantau rapi di ICU.
Beliau meninggalkan enam cahaya mata hasil perkahwinan dengan isterinya, Datin Seri Fatimah Taha.