SELURUH dunia akan terjejas sekiranya Rusia menyerang stesen janakuasa nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) di Ukraine.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jawatankuasa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Rob Bauer menerusi sebuah wawancara pada 3 Julai lalu.
“Jika ini berlaku, maka ia akan menjadi masalah yang lebih besar berbanding masalah ketenteraan atau NATO.
“Seluruh dunia akan terlibat dan akan memberi impak besar di Eropah,” katanya memetik laporan Euromaidan Press.
Sebelum ini, Ukraine memberi amaran bahawa Rusia bertindak melombong ZNPP di tenggara negara itu.
ZNPP merupakan stesen janakuasa nuklear terbesar di Eropah dan tersenarai antara 10 terbesar di dunia.
Bauer berkata, perkara tersebut memberi lebih kebimbangan apabila Ukraine tidak akan diberikan jet pejuang sehingga serangan balas yang ditunggu-tunggu terhadap Rusia berakhir.
Menjelang sidang kemuncak utama NATO di Vilnius, Lithuania, Baeur berkata bahawa, perbincangan mengenai angkatan tentera adalah penting, namun ia tidak akan diselesaikan dalam jangka pendek ketika serangan balas tersebut.
“Ini termasuk melatih juruterbang, juruteknik serta memastikan terdapat organisasi logistik yang benar-benar boleh mengekalkan pesawat ini. Kesemuanya tidak akan tersedia sebelum serangan balas ini,” kata Jawatankuasa Tentera NATO.
Terdahulu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy merayu kepada United Kingdom (UK) untuk menyediakan jet pejuang kepada tentera Ukraine bagi menghentikan serangan Rusia.
Sementara itu, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba memberi amaran bahawa risiko serangan Rusia ke atas ZNNP, yang berada di bawah kawalan tenteranya bakal mengancam seluruh Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) yang merangkumi tiga benua – Amerika Utara, Eropah dan Asia.