CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dirinya bukan boneka yang boleh dibeli dengan wang ringgit.
Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau mengikut telunjuk DAP dalam mentadbir Kerajaan Perpaduan.
“Kita tunduk kerana dukungan parti DAP menguasai? Perdana Menteri saya, saya bukan boneka sesiapa. Alhamdulillah umur saya mencecah 76 tahun, saya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, kalau boleh dibeli sudah lama melencong.
“Saya bukan hendak pertahankan kawan-kawan DAP, mereka dalam Jemaah Menteri, sudah tujuh bulan, Ketua Setiausaha Negara juga ada dalam mesyuarat itu, belum sekali pun dia (menteri DAP) pertikai program untuk Melayu, untuk orang miskin, Islam ke, belum sekali dalam tujuh bulan ini,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Putrajaya, hari ini.
Mahathir sebelum ini mendakwa DAP mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berbagai kaum dengan agama rasmi digantikan kepada sekular.
Malah, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa Anwar terpaksa menurut manifesto DAP supaya parti tersebut tidak menarik diri daripada kerajaan hari ini.