CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penganjur konsert bergelar ‘Datuk’ di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) pada Selasa.
Menurut sumber, suspek yang juga pemilik rangkaian restoran terkenal India bersama seorang lagi rakannya ditahan pasukan Bahagian AMLA, SPRM, awal pagi Selasa, sejurus dipanggil oleh agensi penguat kuasa itu.
Difahamkan, SPRM ketika ini sedang menyiasat kekayaan luar biasa yang dikatakan dimiliki suspek.
“Individu berkenaan dikaitkan dengan beberapa rangkaian syarikat yang terbabit hiburan, hartanah, emas dan industri makanan dan minuman.
“SPRM menyiasat bagaimana pemilikan harta itu dibuat termasuk dakwaan ia dikumpul dengan singkat,” kata sumber seperti dilapor Berita Harian.
Laporan sama turut menyatakan bahawa siasatan itu membabitkan dana meragukan dengan nilai jutaan ringgit.
Suspek berkenaan turut dipercayai dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Shah Alam, namun setakat ini, tiada pengesahan dikeluarkan SPRM.