HomeBeritaMahkamah & JenayahSungai, jeti jadi sarang dadah di Pahang

Sungai, jeti jadi sarang dadah di Pahang

POLIS Pahang mengesan sebanyak 105 kes dan membuat 109 tangkapan berhubung kegiatan penagihan dan pengedaran dadah, menerusi Ops Hawk di seluruh negeri itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, sebanyak 13 tangkapan dibuat melibatkan kesalahan memiliki dadah, manakala ujian air kencing mengesahkan 96 individu ditangkap positif bahan terlarang itu.

“Hasil operasi khas ini juga berjaya menangkap lima lelaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah- Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Tangkapan itu juga berdasarkan hasil 32 serbuan melibatkan pemeriksaan dan tangkapan di kawasan persisiran sungai dan jeti nelayan,“ katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Yahaya berkata, Ops Hawk yang dilancarkan pada 24 Julai lalu bertujuan membendung kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di seluruh Pahang.

Beliau berkata, operasi pertama di sekitar Kuantan yang diadakan pada 26 Julai hingga 28 Julai lalu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang.

Katanya, operasi tersebut turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi penguatkuasaan Pahang.

“Ini termasuk dari gabungan pasukan polis daerah berdekatan dan bantuan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pasukan polis marin,” tambahnya.

Yahaya berkata, Ops Hawk akan terus dilaksanakan di kawasan sasaran bagi membasmi masalah berkaitan dadah, perlencongan sosial dan substan di Pahang.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 095051999/2202 dan hotline JSJN Pahang di talian 09-5052287 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Author

Pilihan Editor