HomeGlobalTersangkut di luar ‘penthouse’, pelagak ngeri maut jatuh dari tingkat 68

Tersangkut di luar ‘penthouse’, pelagak ngeri maut jatuh dari tingkat 68

SEORANG lelaki Perancis yang terkenal dengan sukan ekstrem maut akibat terjatuh dari tingkat 68 di sebuah bangunan, di Hong Kong, China.

Remi Lucidi, 30, sedang mendaki Menara Tregunter ketika insiden tersebut, menurut South China Morning Post.

Lucidi atau lebih dikenali sebagai Remi Enigma disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut pihak berkuasa Hong Kong, Lucidi tiba di bangunan itu sekitar 6 petang, sebelum mangsa memberitahu pengawal keselamatan untuk melawat rakannya di tingkat 40.

Tidak lama kemudian, pengawal tersebut cuba menangkap Lucidi selepas mendapati individu yang didakwa sebagai rakan mangsa tidak mengenalinya.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati, Lucidi sudah tiba di tingkat 49 sebelum mangsa menaiki tangga untuk menuju ke tingkat lebih tinggi.

Pada masa sama, pengawal yang mengejar Lucidi mendapati pintu masuk menuju ke tingkat paling atas dilihat terbuka, namun mangsa tidak kelihatan di mana-mana.

Sementara itu, polis berkata, kali terakhir mangsa dilihat masih hidup adalah pada pukul 7.38 malam, apabila dia mengetuk salah satu tingkap unit ‘penthouse’ seterusnya mendorong seorang pembantu rumah menghubungi pihak berkuasa.

Sumber yang belum dikenal pasti berkata, polis percaya Lucidi tersangkut di luar ‘penthouse’ itu, manakala mangsa menghentak tingkap untuk mendapatkan bantuan sebelum tragedi berlaku.

Sumber lain pula mendedahkan, polis menemukan kamera mangsa di lokasi kejadian yang memaparkan saat-saat terakhir dia menyelamatkan diri.

Polis juga masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi berhubung punca kematian itu.

Author

Pilihan Editor