CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak sempat mengambil tindakan terhadap kumpulan muzik United Kingdom (UK), The 1975, susulan mereka sudah berlepas awal sebelum laporan dibuat.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam namun laporan polis diterima keesokan hari sekitar pukul 2 petang.
Menurutnya, kumpulan The 1975 telah berlepas pulang lebih awal iaitu pada pukul 5.30 pagi, 22 Julai lalu.
“Ramai mempertikaikan kenapa polis tidak ambil tindakan cepat. Bukannya kita tidak mahu bertindak, tetapi PDRM tidak sempat sebab laporan polis dibuat esoknya pukul 2 petang. Setakat ini kami terima 18 laporan polis, lapan di Selangor manakala 10 laporan lagi dari kontinjen luar.
“Sebanyak 13 rakaman percakapan diambil di mana enam daripadanya adalah keterangan pengadu, satu daripada penganjur dan enam keterangan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal),” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera bagi Kejohanan World Police and Fire Games, di Ibu Pejabat Polis Polis, Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Selasa.
Bagaimanapun menurutnya, setakat ini sekiranya ada proses pendakwaan kumpulan The 1975, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK.
Malah, beliau menjelaskan bahawa kes berkenaan tidak perlu melibatkan Polis Antarabangsa (Interpol) kerana kesalahan dilakukan di Malaysia dan bukannya luar negara.
“Kesalahan yang dilakukan juga bukan kesalahan besar seperti culik, bunuh atau kes besar. Jadi tidak perlu libatkan Interpol. Saya yakin selepas ini, Puspal akan lebih berhati-hati. Mungkin akan datang, lihat secara keseluruhan. Kalau artis-artis kontroversi, tak perlu bawa masuk.
“Puspal yang akan buat keputusan, jadi pihak-pihak penganjur perlu merujuk kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, vokalis The 1975, Matt Healy membuat onar dengan memberi ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semasa berada di atas pentas di sebuah festival pada Jumaat lalu.
Malah, Matt turut melakukan aksi tidak senonoh dengan mencium rakan sekumpulannya yang juga lelaki iaitu Ross Macdonald sebagai tanda protes terhadap undang-undang LGBT di negara ini.