HomeTeknologi'Wad i-Kiddo' miliki teknologi IoT, beri keselesaan kepada pesakit kanak-kanak

‘Wad i-Kiddo’ miliki teknologi IoT, beri keselesaan kepada pesakit kanak-kanak

PUSAT Perubatan ParkCity (PMC) dengan kerjasama TM One baru-baru ini melancarkan wad pediatrik baharu dengan ciri suite pesakit pintar.

Dengan gelaran ‘Wad i-Kiddo’, wad ini dilengkapi dengan keupayaan bilik yang canggih dan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) untuk automasi.

Wad berkenaan turut direka untuk meningkatkan keselesaan pesakit, menyelaraskan aktiviti penjagaan kejururawatan dan memberi kemudahan kepada ibu bapa dan penjaga.

Malah, teknologi IoT membolehkan pesakit di setiap 35 bilik wad menyesuaikan persekitaran pesakit dalam mereka dengan mengawal pencahayaan, penyaman udara dan langsir, sekali gus mengurangkan keperluan untuk bantuan daripada kakitangan jururawat.

Ciri-ciri tersebut secara langsung menyokong ibu bapa dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan buat anak-anak mereka sepanjang menginap di hospital.

PMC adalah sebuah hospital pelbagai disiplin di bawah Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) manakala TM One ialah cabang penyelesaian perusahaan dan sektor kerajaan Telekom Malaysia Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan ParkCity, Peter S. Kasinathan berkata, dengan kerjasama TM One, PMC amat berbangga menjadi hospital pertama yang memanfaatkan Penyelesaian Suite Pesakit Pintar di Wad i-Kiddo yang inovatif.

“Dengan menerima teknologi digital, kami merevolusikan cara pesakit dan keluarga mereka menerima penjagaan kesihatan dalam hospital kami.

“Ini adalah peristiwa penting dalam perjalanan pendigitalan kami,” ucapnya seperti dilapor The Star.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, inovatif yang diaplikasikan itu membawa RSDH berada di barisan depan dalam sektor inovasi penjagaan kesihatan.

“Dengan menyatupadukan IoT, AI dan pendigitalan, RSDH berada di barisan hadapan dalam inovasi penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Sebagai langkah daripada usaha pendigitalan berterusan, PMC turut melaksanakan sistem giliran pintar untuk perkhidmatan pesakit luar bagi memastikan aliran kemasukan pesakit lancar dan cekap.

Pada masa sama, sistem parkir kereta pintar menggunakan pengecaman nombor plat kereta juga telah diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH, Peter Hong berkata, pihaknya berbangga dengan usaha kolektif berkenaan dalam memacu pendigitalan sekali gus menjaga keselesaan penyakit.

“Melalui kerjasama dengan TM One, kami berhasrat untuk memanfaatkan kuasa pendigitalan untuk mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lancar, menyediakan perkhidmatan yang lebih diperibadikan dan berpusatkan pesakit kepada komuniti kami, akhirnya membentuk masa depan yang lebih cerah dan lebih bijak untuk penjagaan kesihatan bersama-sama,” katanya.

Author

Pilihan Editor