SEGAMAT: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran Felda Redong Jalan Segamat Labis ke Felda Redong pada petang Ahad.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan melalui talian MERS999 pada jam 1.30 petang.
Beliau berkata, sejurus menerima panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Labis dengan kekuatan seramai 10 anggota telah dihantar ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba ke lokasi, didapati kemalangan berkenaan melibatkan tiga kenderaan jenis Perodua Myvi, Toyota Hilux dan Proton Persona.
“Pihaknya juga mendapati seorang lelaki warga emas dalam kenderaan Perodua Myvi telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Segamat.
“Mangsa di kenderaan Toyota Hilux iaitu dua lelaki serta dua wanita dan seorang lelaki bagi kenderaan Proton Persona pula didapati tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba telah berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di kenderaan Perodua Myvi dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Sinar Harian