HomeBerita1.9 juta kenderaan di Lebuhraya PLUS mulai esok

1.9 juta kenderaan di Lebuhraya PLUS mulai esok

KUALA LUMPUR: Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula Jumaat hingga Sabtu ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, orang ramai khususnya mereka yang ingin pulang ke kampung halaman atau menuju ke lokasi mengundi dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan masing-masing.

“Pengguna lebuh raya juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan lebih panjang di lebuh raya, berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Yusuf berkata, PLUS sudah membuat persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R).

Beliau berkata, ia penting agar kesemuanya berada pada tahap terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Selain itu, katanya, PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula Jumaat hingga Sabtu.

“Namun, kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal aadalah dikecualikan,” katanya.

Tambahnya, PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di R&R serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.

Malah, katanya, pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, yang disediakan oleh rakan niaga PLUS di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.

“Para pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu.

“Mereka juga disaran menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan masing-masing.” katanya.

Pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya dengan memuat turun aplikasi PLUS.

Ikuti laporan trafik menerusi Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, talian PLUSLine di 1800-88-0000, serta melalui stesen-stesen radio tempatan.

 

Author

Pilihan Editor