SEORANG lelaki memutuskan untuk memecat adiknya selepas dia mencuri tumpuan majlis pada hari perkahwinannya.
Seorang pengguna Reddit (Redditor) bernama Daquiii pergi ke forum popular platform media sosial yang dipanggil “Am I the A**hole” untuk berkongsi kisah majlis perkahwinannya dan bertanya kepada rakan pengguna internet sama ada tindak balasnya terhadap tindakan adiknya itu sesuai.
Walaupun memegang peranan penting semasa majlis perkahwinan, adik kepada Redditor itu membuat kesilapan besar pada majlis perkahwinan tersebut, menurut pengguna media sosial itu.
Pengantin baharu itu menulis: “Pada majlis perkahwinan saya, di mana dia adalah pengapit lelaki, dia memutuskan untuk memberi kami semua kejutan besar dalam ucapan dengan melamar teman wanitanya.
“Saya dan isteri saya terkejut. Kami berdua rasa seperti dia mencuri tumpuan daripada kami. Semua orang dalam keluarga kami sangat teruja dan terus mengambil gambar dengannya, melihat cincin, dan sebagainya.”
Keesokan harinya, raja sehari itu memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap adiknya, dalam satu langkah yang terbukti kontroversi dalam kalangan Redditors lain.
Dia berkata: “Saya memutuskan untuk memecatnya keesokan harinya. Dia masih tidak faham mengapa.
“Dia mendakwa saya mementingkan diri sendiri dan tidak rasional, dan ibu bapa kami juga bersetuju. Mereka mengatakan bahawa ‘perniagaan perlu berasingan daripada kehidupan peribadi kami’, tetapi saya tidak boleh biarkan apa yang dia dah lakukan dan bagaimana dia merosakkan hari bahagia kami.”
Adiknya itu akan dipecat, kata Redditor itu, sebelum menambah: “Dia masih adik saya, dan saya tidak akan biarkan dia hilang tempat tinggal kerana ini. Tetapi sebagai perniagaan kecil saya tidak dapat membayangkan melihatnya setiap hari di tempat kerja. Sekurang-kurangnya bukan sekarang.”
Dalam ulasan untuk menjelaskan lagi kedudukannya, Redditor itu menambah dia tidak akan bercakap buruk tentang adiknya jika bakal majikan meminta rujukannya, dan hanya akan berpegang pada prestasi kerjanya.
Si suami itu menambah: “Tetapi apa yang dia lakukan menunjukkan kepada saya bahawa dia kurang matang dan menyebabkan saya kurang percaya kepadanya. Ia bukanlah kualiti yang baik untuk seorang pekerja. Saya faham ia adalah ‘di luar masa’, tetapi anda tidak boleh menghina bos anda di luar masa dan mengharapkan tiada apa-apa akan berlaku.”
Ada juga yang berpendapat bahawa majlis perkahwinan tidak semestinya perlu tertumpu sepenuhnya kepada pasangan yang berkahwin, dan tumpuan boleh dikongsi.
Seorang Redditor yang menyokong penulis asal berkata: “Jika seseorang memalukan atau menyinggung perasaan/tidak menghormati bos mereka ada kemungkinan besar mereka tidak lagi akan bekerja untuk syarikat itu. Apa yang dilakukan oleh adik anda menyinggung perasaan anda dan isteri anda kerana ia adalah majlis perkahwinan anda.”
Sebaliknya, seorang pengulas lain berkata: “Adik kamu adalah seorang *** kerana melakukan perkara itu tanpa meminta kebenaran kamu. Memecatnya pula adalah tindakan keterlaluan yang tidak wajar.” – Express