HomeBeritaPolitik'Ada pihak mahu saya dipecat terus daripada UMNO' - Tajuddin

‘Ada pihak mahu saya dipecat terus daripada UMNO’ – Tajuddin

PASIR SALAK: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang kini digantung keahlian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, wujud usul daripada pemimpin UMNO Bahagian Pasir Salak supaya pucuk pimpinan tertinggi parti itu tidak melayan rayuan pengembalian semula keahliannya.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa, perkara itu diusulkan sendiri oleh Ketua UMNO Bahagian, Khairul Azwan Harun kepada Jawatankuasa UMNO Bahagian itu tiga minggu lalu, namun dikatakan mendapat bantahan daripada sebahagian kecil ahli jawatankuasa.

“Azwan sudah bawa ke Jawatankuasa UMBO Bahagian untuk membuat satu desakan kepada pucuk pimpinan parti supaya permohonan saya dilepaskan daripada penggantungan tak dilayan, maknanya mereka tak setuju (keahlian dikembalikan).

“Kedua, mereka nak saya dipecat terus daripada UMNO, saya dianggap umpama dah tak ada guna pada Umno, menimbulkan masalah pada UMNO. Kononnya saya masih lagi menentang Presiden.

“Saya tak tahu sama ada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan pucuk pimpinan dengar cakap mereka atau tak, tapi yang pasti mereka (UMNO Bahagian) buat dulu,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Himpunan Melayu Bangkit 2.0 di perkarangan kediamannya di Kampung Gajah dekat sini, pada Rabu malam.

Beliau juga mendakwa Khairul Azwan bertindak sedemikian bagi menyingkirkan kerana terdapat ura-ura rayuannya bakal diluluskan.

“Tujuannya untuk buang saya daripada UMNO. Ini bukan cerita rekaan, ini betul-betul. Boleh tanya Azwan sendiri, ada saksi jawatankuasa bahagian bercakap tak setuju.

Sementara itu, Khairul Azwan atau lebih dikenali Azwan Bro ketika dihubungi pagi ini enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan usul berkenaan.

No comment (tiada komen),” katanya ringkas.

Author

Pilihan Editor