HomeSukanArif Aiman lebih diperlukan Harimau Malaya

Arif Aiman lebih diperlukan Harimau Malaya

 

PETALING JAYA: Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali menyifatkan keputusan Kim Pan Gon tidak melepaskan bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bersama pasukan bawah 23 (B-23) negara mengharungi kempen Kejohanan AFF B-23 di Thailand adalah tepat.

Jelasnya meskipun Arif Aiman berusia 21 tahun, tapi dia telah cukup matang dan sememangnya perlu diletakkan dalam skuad senior kebangsaan.

“Memang saya setuju dengan kenyataan (Pan-gon) itu, memang tahap Arif Aiman memang bukan B-23 dah.

“Walaupun dia masih ada peluang main di pe­ringkat umur sebegitu, tapi dengan keyakinan dan corak kematangan, dengan corak permainan Arif Aiman dia hanya boleh beraksi untuk skuad senior.

“Dia mampu menyum­bang lebih banyak untuk pasukan kebangsaan,” ka­ta Safee.

Terdahulu, Utusan Ma­laysia melaporkan Pan Gon tidak akan melepaskan Arif Aiman ke skuad B-23 kerana skuad kebangsaan lebih memerlukan khidmatnya.

Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, sentuhan Arif Aiman sangat ditagih Harimau Malaya yang dalam persiapan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini, dan saingan Piala Asia di Qatar, Januari depan.

Author

Pilihan Editor