SEORANG doktor berhadapan detik cemas selepas bayi berusia empat bulan dibawa masuk ke jabatan kecemasan akibat mengalami kesukaran bernafas.
Menerusi perkongsian video TikTok Felix yang merupakan pakar perubatan di sebuah hospital di Indonesia mendedahkan bayi berusia empat bulan itu mengalami sesak nafas gara-gara diberi makan buah pisang.
Lebih teruk lagi, bayi malang itu turut mengalami kesukaran membuang air besar sehingga menyebabkan perutnya kembung teruk.
“Pada awalnya ibu bapa tak mengaku, tapi kemudian mereka mengaku kalau bayi itu diberi makan pisang.
“Kalau monyet tak apa kalau nak beri makan pisang tapi bayi ini masih berumur empat bulan,” katanya.
Dalam pada itu, doktor Felix menambah selain pisang, bayi itu turut diberi makan nasi ketika umurnya baru mencecah 40 hari.
“Buat yang belum tahu, pencernaan bayi itu bukan seperti orang dewasa, mereka tak boleh mencerna makanan yang keras seperti nasi dan pisang
“Jadi kalau diberi makan pisang dekat bayi boleh terkena penyakit Ileus,” jelasnya.
Lebih mengesalkan, pasangan itu mendakwa mereka hanya mengikut arahan ibu mentuanya sahaja.
Oleh itu, Doktor Felix menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin dan ingin mempunyai anak harus mempunyai ilmu pengetahuan berkaitan bayi.