HomeBeritaMahkamah & JenayahBayi berbungkus kain merah ditemukan di wakaf Besut

Bayi berbungkus kain merah ditemukan di wakaf Besut

BESUT: Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dipercayai dibuang, ditemukan di atas sebuah wakaf berhampiran pusat tahfiz dekat Kampung Batu Tumbuh di sini, pada pukul 8 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, bayi lelaki seberat 2.5 kilogram (kg) itu ditemukan orang awam yang terdengar tangisan bayi tersebut.

Beliau berkata, pengadu yang sedang mengecat bangunan sekolah tersebut kemudiannya mencari arah suara tangisan sebelum terjumpa bayi tersebut.

Menurutnya, bayi yang cukup sifat itu ditemukan dalam keadaan berbungkus dengan kain merah yang diletakkan di dalam bekas plastik.

“Pengadu cuba mencari sekiranya ada individu berhampiran namun gagal dan dia kemudiannya menghubungi pihak polis untuk membuat aduan mengenai penemuan bayi itu.

“Hasil siasatan awal, pengadu mengatakan tidak terlihat mana-mana individu yang meletakkan bayi di kawasan tersebut pada pagi tadi,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Bayi itu dianggar dilahirkan sekitar tempoh 48 jam yang lalu, namun keturunannya masih belum dapat dikenal pasti.

Abdul Rozak berkata, bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Besut, di sini, untuk pemeriksaan dan rawatan kesihatan yang terperinci.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 kanun keseksaan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor