CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan lebih 600 ahli Bersatu Dungun Rantau Abang menyertai UMNO.
Apatah lagi, Setiausaha Bersatu Bahagian Dungun, Ahmad Tarmizi Ghazali berkata, jumlah keahlian di cawangan-cawangan yang disebut sebelum ini tidak mencecah 300 orang.
“Jumlah keahlian di cawangan Balai Besar adalah seramai 145 orang, manakala cawangan Taman Permin Indah berjumlah 84.
“Kami ingin menegaskan bahawa cawangan-cawangan berkenaan dan ahli-ahlinya masih setia kepada parti dan masih lagi kekal bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa, bekas Pengerusi Penyelaras Bersatu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, Anwar Rosli berkata bahawa, seramai 600 ahli Bersatu yang keluar parti dan menyertai UMNO membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Anwar berkata, keputusan itu diambil kerana kecewa dengan pimpinan tertinggi parti DUN berkenaan yang seolah-olah melakukan pengabaian sejak dua tahun lalu.
“Kami berasa terpinggir dan tidak diberi sebarang bantuan. Ahli kami yang susah dan memerlukan bantuan, namun Barisan Nasional (BN) yang datang membantu kami,” katanya.
Perkara itu dimaklumkan ketika majlis penyerahan borang keahlian UMNO di Markas BN dekat Dungun, Terengganu pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, kehadiran beberapa individu pada majlis berkenaan bukan dalam kalangan ahli-ahli Bersatu Bersatu Bahagian Dungun.
Sebaliknya, katanya, siasatan mendapati bahawa mereka yang hadir terdiri daripada ahli-ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“Selain itu, Ketua Cawangan Bersatu Balai Besar bukan bernama Jalaluddin Mod Zin, tetapi ketuanya adalah Datuk Rosli Mat Hassan sebagaimana di dalam RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) sebelum ini.
“Gambar yang tersebar menyatakan Ketua Cawangan Bersatu Gong Pasir, Saidi Abu Bakar yang menyarung baju BN juga tidak benar kerana Ketua Cawangan tersebut merupakan individu lain,” ujarnya.
Pada masa sama, Ahmad Tarmizi menyifatkan kenyataan Anwar bahawa bantuan tidak diterima oleh pihak mereka sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, Bersatu Bahagian Dungun sudah pun membuat agihan bantuan secara terus kepada ahli-ahli cawangan berkenaan ketika pandemik Covid-19, dengan menghantar bakul makanan yang disediakan oleh kerajaan ketika itu.
Katanya, bantuan baik pulih rumah juga sudah diusahakan oleh Bersatu Bahagian Dungun dengan kerjasama agensi kerajaan.
“Beberapa cawangan Bersatu di peringkat DUN Rantau Abang, termasuk cawangan Balai Besar, Gong Pasir dan Rantau Abang tidak membuat persidangan peringkat cawangan selama dua tahun berturut-turut.
“Mengikut perlembagaan parti, mana-mana cawangan yang tidak bersidang akan diambil alih oleh Jawatankuasa Bahagian dan akan melantik semula Jawatankuasa Cawangan berkenaan sebagai Jawatankuasa Penaja,” tambahnya.