HomeBeritaPolitikDakwa MP kerajaan sokong PN, bukankah kita ada Akta Anti Lompat Parti?

Dakwa MP kerajaan sokong PN, bukankah kita ada Akta Anti Lompat Parti?

CYBERJAYA: Mohd Khairuddin Othman menolak dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Perikatan Nasional (PN) akan disokong oleh Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan, sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu sebaliknya berkata, perkara tersebut tidak mungkin akan berlaku apatah lagi ia memerlukan banyak proses dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Persoalannya, adakah Speaker (Dewan Rakyat) akan benarkan? Bukan ke kita ada Akta Anti Lompat Parti?

“Kenyataan tersebut hanya menunjukkan penentangan kepada titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN dilapor mendakwa, sokongan Ahli Parlimen dari Kerajaan Perpaduan terhadap PN sekali gus akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan pusat diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, Ahli Parlimen terbabit hanya menunggu masa untuk menyokong PN bagi membentuk kerajaan pusat baharu.

Katanya, ini termasuk sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang menyokong PN bagi membantu parti gabungan itu membentuk kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Asal (ada) 10 Ahli Parlimen UMNO nak sokong kita, mungkin 15 (Ahli Parlimen) tapi mereka ini dipaksa, diugut yang ada kes nak bawa ke mahkamah menyebabkan orang UMNO ini dalam ketakutan.

“Maka ditubuhkan Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kacau-bilau, Kerajaan Perpaduan tapi berbalah sama sendiri, yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri,” katanya.

Author

Pilihan Editor