HomeBeritaDBKL tukar nama laluan GOKL kepada model nombor

DBKL tukar nama laluan GOKL kepada model nombor

CYBERJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar nama laluan bagi perkhidmatan bas GOKL daripada penggunaan warna kepada model nombor mulai Ogos ini.

Menerusi notis pemberitahuan awam, pertukaran itu meliputi 14 laluan bagi memudahkan penumpang mengingati nama laluan berbanding penggunaan warna yang dilihat merumitkan mereka.

“Bagaimanapun, nama warna akan dikekalkan di hujung nama laluan bagi tempoh sementara untuk mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai,” maklum DBKL pada Rabu.

Laluan berkenaan adalah Laluan Hijau yang membabitkan perjalanan dari KLCC ke Bukit Bintang yang ditukar kepada GOKL 01, Laluan Ungu (Hab Pasar Seni-Bukit Bintang) kepada GOKL 02, Laluan Merah (Hab Titiwangsa-KL Sentral) kepada GOKL 03 dan Laluan Biru (Hab Titiwangsa-Bukit Bintang) kepada GOKL 04.

Selain itu, Laluan Jingga (Hab Titiwangsa-MINDEF) kepada GOKL 05, Laluan Merah Jambu (PPR Pantai Ria-LRT Universiti) kepada GOKL 06, Laluan Biru Firus (LRT Dato’ Keramat-Kelumpuk Bambu (Setiawangsa) kepada GOKL 07, Laluan Merah Manggis (MRT Kampung Batu-Chow Kit) kepada GOKL  08 dab Laluan Coklat (LRT Sri Rampai – Seksyen 10 Wangsa Maju) kepada GOKL 09.

Turut terlibat, Laluan Hijau Serindit (Terminal Maluri- Bandar Sri Permaisuri) kepada GOKL 10, Laluan Kelabu (MRT Maluri – Bandar Tun Razak) kepada GOKL 11, Laluan Krim (Taman Fadason – MRT Sri Delima) kepada GOKL 12, Laluan Merah Lembayung (MRT Jinjang – MATRADE) kepada GOKL 13 dan laluan terbaharu dari Kompleks Komuniti Muhibbah ke PPR Pinggiran Bukit Jalil menggunakan model nombor GOKL 14.

Justeru, pengguna disarankan memuat turun aplikasi GOKL bagi mengetahui maklumat lanjut atau pengumuman terkini dari semasa ke semasa.

Author

Pilihan Editor