HomeBeritaDiva AA kecewa rumah pusaka jadi markas PN

Diva AA kecewa rumah pusaka jadi markas PN

PETALING JAYA: Selebriti kontroversi, Azwan Ali meluahkan kekecewaan apabila rumah peninggalan orang tuanya, Allahyarham Haji Ali dan Mak Tom di Hulu Kelang dijadikan sebagai markas Perikatan Nasional (PN).

Azwan Ali atau mesra disapa Diva AA menjelaskan rumah pusaka tersebut sudah diubah suai dan kosnya ditanggung oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, dia terkilan dengan tindakan abang kandungnya yang sanggup menggunakan rumah tersebut bagi tujuan politik.

“Rumah pusaka itu sejak zaman arwah nenek, Rafeah Buang masih hidup. Masih ingat lagi semasa zaman remaja, saya duduk berdua dengan arwah di bawah pokok jambu. Saya rapat dengan nenek.

“Kami berdua menangis melihat rumah pusaka dirobohkan jentolak ketika itu. Sedangkan arwah nenek sudah pesan rumah pusaka jangan dirobohkan nanti buruk padahnya,” katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Azwan berkata, tiga tahun selepas arwah neneknya meninggal dunia, tidak semena-mena hubungan mereka adik-beradik jadi berantakan.

“Bala menimpa keluarga kami dan hubungan adik-beradik menjadi keruh. Ingat lagi tarikh 2 September 1998 semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat (Timbalan Perdana Menteri).

“Rumah itu terlalu banyak nostalgia antaranya arwah Datuk Sharifah Aini, Rohana Jalil dan Datuk Jamal Abdillah pernah merakamkan lagu Suasana Hari Raya,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Azwan berkata, bukan niatnya untuk menjatuhkan Azmin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

Namun, katanya, dia cuma terkilan apabila melihat rumah itu berubah menjadi markas politik walaupun tidak dihuni oleh ahli keluarganya.

PRN Selangor bagi kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohamed Azmin dan Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN tersebut dimenangi PH menerusi Saari Sungib mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Azwan pula mengumumkan tidak bertanding sebagai calon bebas bagi PRN kerana muak dengan situasi politik semasa.

Hubungan adik beradik antara Azwan dan Azmin menjadi tegang sejak sekian lama dengan siri serangan peribadi daripada Diva AA sebelum ini.

Author

Pilihan Editor