KUALA LUMPUR: Polis terima 58 laporan polis dan sebanyak 50 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pada semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 48 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 dan masing-masing satu kertas mengikut Seksyen 4 (A) (1) serta Seksyen 26 akta yang sama.
Menurutnya, dua laporan polis pula diklasifikan sebagai NOD iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada apa-apa kesalahan tangkapan.
“Laporan polis ini dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaaan Ops Cantas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di lokasi yang dijalankan pemeriksaan.
“Dua lagi laporan polis diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA), manakala empat lagi dirujuk ke agensi lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussein memaklumkan, sepanjang tempoh bekempen sejak 29 Julai hingga semalam, polis Selangor menerima 779 laporan dengan 78 kertas siasatan dibuka serta dua tangkapan dilakukan.
“Baki 701 laporan membabitkan tindakan pencegahan oleh polis di samping tiada unsur jenayah dikesan.
“Polis juga mengucapkan terima kasih kepada semua calon bertanding, penyokong dan warga Selangor yang membantu melancarkan PRN ini,” ujarnya.