HomeBeritaPolitikGesa Zahid letak jawatan, kenapa Muhyiddin tak 'resign' bila kalah PRN Melaka,...

Gesa Zahid letak jawatan, kenapa Muhyiddin tak ‘resign’ bila kalah PRN Melaka, Johor?

GESAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan hanya menunjukkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebagai seorang yang angkuh.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Muhyiddin sebaliknya tidak meletakkan jawatan apabila PN mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Ahmad Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab.

“Muhyiddin angkuh bila suruh Ahmad Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor, dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden Bersatu sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, UMNO yang mengalami kekalahan terburuk dalan PRN di enam negeri kelmarin perlu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

“Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.

“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam Kerajaan Perpaduan. Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan kerjasama. Ahmad Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya.

Selain Ahmad Zahid, Muhyiddin turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan serta-merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN di enam negeri.

Muhyiddin menyifatkan, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid.

Author

Pilihan Editor