SHAH ALAM: Tahap kesukaran silibus pendidikan sekolah di negara ini hanya berada pada tahap lima peratus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa perlu memahami bahawa soalan-soalan yang dihasilkan adalah berdasarkan aras kefahaman pelajar.
“Kita kena adil kepada pelajar yang mempunyai kemahiran yang sedikit tinggi berbanding rakan-rakan yang lain.
“Dan lima peratus itu adalah untuk atasi isu anak-anak yang mempunyai aras yang tinggi.
“Manakala, selebihnya adalah soalan-soalan yang berkisar yang mereka boleh kuasai di peringkat umur mereka. Jadi, jangan terlalu risau. Kita sedang melihat isu kurikulum ini dengan lebih serius, “ katanya ketika sidang media di Pustaka Raja Tun Uda, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus (townhall) untuk membincangkan perkara membabitkan kurikulum, yang melibatkan banyak pihak.
“Jadi, apa sahaja isu yang disentuh akan dipanjangkan dan dikupas ketika sesi tersebut,” katanya.
Tambahnya, silibus pendidikan negara akan diperbaharui dalam setiap kitaran 10 tahun, manakala perubahan seterusnya adalah pada 2027.