HomeBeritaHat Yai hargai kemerdekaan Malaysia, kita sibuk ‘politikkan’ isu logo sambutan

Hat Yai hargai kemerdekaan Malaysia, kita sibuk ‘politikkan’ isu logo sambutan

CYBERJAYA: Baru-baru ini, isu saranan penggunaan logo sambutan kemerdekaan yang berbeza mengikut negeri hangat dibicarakan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Namun, siapa sangka di saat rakyat Malaysia bertikam lidah mengenai isu terbabit hingga mencampuri urusan politik, negara jiran pula sibuk memberi penghormatan terhadap sambutan hari kemerdekaan Malaysia.

Seorang pengguna Facebook dikenali Wan Midgee baru-baru ini berkongsi kisah mengagumkan yang dilihatnya ketika berkunjung di Hat Yai, Thailand.

Perkara itu berhubung usaha pihak pengurusan sebuah pusat beli-belah yang membuat dekorasi bersempena dengan bulan kemerdekaan Malaysia.

“Di Malaysia kita sibuk nak guna logo sambutan kemerdekaan yang berbeza demi fahaman politik masing-masing.

“Manakala pihak pengurusan Central Festival Mall Hatyai buat sedikit deco sempena bulan kemerdekaan Malaysia.

“Apa yang aku cuba sampaikan ialah pihak-pihak di Thailand membuat promosi bersungguh-sungguh untuk menarik pelancong Malaysia berkunjung dan berbelanja di Thailand (walaupun tanpa promosi pun orang Malaysia tetap berkunjung ke sana),” tulisnya pada Selasa.

Susulan itu, Wan turut berharap pihak berwajib di Malaysia dapat mencontohi sikap dan usaha yang dipamerkan Thailand dalam menarik minat pelancong asing berkunjung ke Malaysia.

“Harap pihak-pihak yang berwajib di Malaysia tambahkan lagi usaha menarik pelancong asing terutama dari negara-negara yang matawang mereka lebih tinggi daripada Ringgit Malaysia untuk berkunjung dan berbelanja di Malaysia.

“Sudah-sudahlah berpolitik. Tumpukan usaha untuk memajukan negara,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor