CYBERJAYA: Hari perkahwinan yang sepatutnya penuh kegembiraan bertukar hiba apabila 30 minit selepas majlis akad nikah, pengantin perempuan menerima khabar sedih mengenai ibunya yang sedang kritikal di sebuah hospital.
Kisah sedih itu dikongsikan oleh rakannya menerusi TikTok @mawiekhaili.
Menurut Mawi, pengantin perempuan yang dikenali sebagai Ika bergegas ke hospital untuk menemui ibunya namun, setibanya di sana ibunya telah meninggal dunia.
“Lebih kurang setengah jam sahaja selepas dia selesai nikah, dia mendapat satu perkhabaran yang sangat mendukakan.
“Dia terpaksa bergegas ke hospital besar Kuala Lumpur untuk melihat ibunya yang sedang kritikal.
“Sampai sahaja dia di hospital, ibunya telah menghembuskan nafas yang terakhir,” ceritanya.
Walaupun berada dalam keadaan tidak stabil, Ika tetap menguruskan jenazah dengan sebaik mungkin sebelum kembali ke majlis perkahwinannya untuk menghormati tetamu.
“Gembira sedikit, tapi dukanya yang lebih. Aku bangga dengan dia, dia kuat untuk berdiri.
“Walaupun keadaan dia tidak stabil dan emosi dia terlalu sedih tetapi dia terpaksa kuatkan diri untuk kembali ke majlis persandingan dia.
“Bukan untuk meraikan tetapi untuk menghormati tetamu yang hadir daripada seluruh negeri, keluarga yang datang daripada jauh, daripada Indonesia, Singapura,” luahnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman hampir sama yang dialami oleh Ika.
“24/12 aku nikah. Selesai je nikah arwah abah terus ke hospital. Esok pagi dia dah pergi. Memang dia tunggu nak tengok anaknya nikah,” kongsi netizen.
“2/5 majlis nikah abang saya. Malam tu atok saya meninggal. 8/5 majlis bertandang belah keluarga saya, malam merewang tengah masak-masak tu ayah saya meninggal. Sedih sangat,” luah netizen.
“Arwah bapa mertua aku sebulan je dapat main dengan cucu kesayangan dia. Lepas sebulan bini (isteri) aku bersalin dia pun dijemput Ilahi,” komen netizen.