KEMERIAHAN sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada Khamis, membuktikan rakyat negara ini memiliki rasa kecintaan yang tinggi terhadap tanah air mereka.
Apatah lagi, ada yang sanggup bersesak-sesak dan menanti sejak awal malam Rabu, bagi menyambut hari kemerdekaan itu yang berlangsung di Dataran Putrajaya.
Terbaharu, tular sebuah video memaparkan para penumpang perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) menyanyi semula sebuah lagu patriotrik secara beramai-ramai dan harmoni.
Lagu Tanggal 31 Ogos dendangan penyanyi asal, Allahyarham Sudirman Haji Arshad itu dinyanyikan semula, ketika mereka dipercayai dalam perjalanan untuk menyambut Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.
Malah, video sama turut memaparkan seorang lelaki menyanyi sambil membawa Jalur Gemilang menambahkan lagi semangat dan rasa sayang kepada Malaysia.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terharu dengan semangat patriotik ditunjukkan rakyat negara ini tidak kira di mana jua mereka berada.
Tulis @ninibachik: “Benda macam ini pun aku goosebumps. I love you Malaysians.”
Nor Arzianti Ahmad memberi komen: “Terbaik rakyat Malaysia!”
Tambah Lyana Latiff: “I felt emo lah. Kita kena teruskan vibes ni sampai bila-bila.”
@kakyahrosle berkata: “Terharu akak tengok vibe macam ni. Sporting semua. Syabas anak Malaysia!”
Ujar @vasantiperumal: “Bangga kan jadi warganegara Malaysia?”
https://www.tiktok.com/@deleosem/video/7273151420453440770?_r=1&_t=8fHssmqxYEk
Setakat ini, video yang dikongsikan oleh Darrel Noel di laman TikTok itu mendapat lebih 210,000 ribu tontonan, 25,000 tanda suka dan lebih 1,700 perkongsian.
Terdahulu, lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 anjuran sulung Kerajaan Perpaduan di Dataran Putrajaya.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, sambutan itu melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.
Perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini terdiri daripada Kontinjen Kenegaraan, Perpaduan Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif dan Penyiaran, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.