HomeSukanIsu fitnah bekas penjaga gol TRW, Zamsaham terima dua tuntutan

Isu fitnah bekas penjaga gol TRW, Zamsaham terima dua tuntutan

SETIAWANGSA: Bekas penjaga gol Kelantan FC, Rozaimi Rahamat mengemukakan tuntutan permohonan maaf terbuka daripada pemilik kelab itu, Norizam Tukiman.

Peguam yang mewakilinya, Saipul Baharim Abd Rahman berkata, permohonan maaf secara bertulis itu perlu disemak pihaknya terlebih dahulu, sebelum diterbitkan di dua akhbar tempatan selama tempoh dua hari.

“Pada masa sama, permohonan maaf juga perlu disiarkan di media sosial Norizam dan media sosial rasmi The Red Warriors (TRW) Kelantan FC,” katanya menerusi satu sidang media di sini, pada Jumaat.

Tuntutan itu dibuat berikutan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham  pada 3 Jun lalu didakwa membuat kenyataan fitnah, yang menyatakan Rozaimi memboikot perlawanan Kelantan FC menentang Sabah FC dalam aksi pusingan pertama Liga Super 2023.

Selain itu, Saipul berkata, ganti rugi kewangan turut dituntut, namun nilainya masih belum diputuskan.

Beliau berkata, hal ini kerana pihaknya mahu membuka perbincangan dengan Zamsaham terlebih dahulu untuk menentukan nilai ganti rugi tersebut.

Namun, beliau memberi gambaran nilai tuntutan ganti rugi yang bakal dikenakan adalah kira-kira RM1 juta, sama seperti harga pasaran Rozaimi ketika menyertai TRW pada awal musim ini.

“Notis tuntutan sudah diserah kepada Zamsaham pada 3 Ogos 2023 dan kami memberi tempoh 14 hari untuk pihaknya memberi respons.

“Sekiranya tiada sebarang maklum balas, maka kami akan mengambil tindakan undang-undang,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor