HomeBeritaJom meriahkan Pesta Pantai di Bagan Lalang Sabtu dan Ahad ini!

Jom meriahkan Pesta Pantai di Bagan Lalang Sabtu dan Ahad ini!

CYBERJAYA: Sebuah program komuniti dikenali ‘Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang’ akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos ini.

Program anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPS) itu adalah sebahagian inisiatif mempromosikan salah satu lokasi pelancongan di daerah berkenaan.

Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, program tersebut adalah acara tahunan sejak tahun 2016, namun tertangguh pada 2020 akibat pandemik Covid-19 dan digerakkan semula pada tahun ini mengambil kira sambutan menggalakkan daripada pengunjung, penduduk dan peniaga tempatan.

Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Hamid Hussain // MP Sepang

“Saya melihat ini merupakan satu pendekatan terbaik bagi menghidupkan suasana di Pantai Bagan Lalang.

“Setiap pantai perlu mempunyai acara tersendiri bagi menambah daya tarikan kepada pengunjung untuk datang ke sini khususnya dengan adanya penganjuran program berkualiti seperti ini,” katanya.

Sebanyak 20 aktiviti menarik akan dilaksanakan sepanjang pesta berlangsung.

 

 

Antaranya ialah bola tampar pantai dengan kerjasama Pejabat Belia Daerah Sepang; pertandingan wau kapal dengan kerjasama Persatuan Wau Kapal Selangor dan pertandingan silat antarabangsa @ Sepang kerjasama dengan PESAKA Daerah Sepang.

Selain itu, turut diadakan pertandingan memasak kuih bangkit buah naga yang merupakan ciptaan resepi serta inovasi pertama di Selangor dan akan menjadi trademark kepada daerah Sepang yang kaya dengan hasil buah naga.

Turut dimeriahkan ialah acara Pertandingan Tarik Tali Pantai, Pertandingan Istana Pasir, persembahan artis tempatan selain Sukan Rakyat dan Permainan Tradisional serta Merdeka Fun Ride dan Fun Run.

Foto: MP Sepang

Untuk makluman, Pantai Bagan Lalang antara pantai yang cantik di Selangor selain Pantai Morib dan Bagan Nakhoda Omar.

Semasa air surut di Pantai Bagan Lalang, pengunjung boleh berjalan ke tengah laut sehingga 300 ke 400 meter.

Malah, Pantai Bagan Lalang juga merupakan lubuk makanan laut bagi penggemar makanan laut kerana terdapat banyak restoran ikan bakar yang menyajikan makanan laut yang segar di sekitar kawasan pantai.

Author

Pilihan Editor