PARIT BUNTAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.
Khabar gembira buat pesawah padi itu diumumkan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak, di Dewan Kerian Lermai, di sini.
Beliau berkata, dengan kenaikan itu pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah negara ini.
Anwar menyifatkan, peningkatan SSHP sebanyak RM140 yang diunjur itu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun, adalah satu-satunya kenaikan subsidi itu sejak kenaikan terakhir diumumkan kira-kira 25 tahun lalu.
“Ini kenaikan terbesar dalam sejarah. Kenaikan (subsidi padi) yang paling akhir adalah semasa Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dulu, 25 tahun lalu.
“Alhamdulillah, kini sudah jadi Menteri Kewangan subsidi itu naik lagi dari RM360 kepada RM500,” katanya.
Turut dihadiri pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, lapor Berita Harian.
Menyentuh mengenai isu yang sering menjadi rungutan pesawah iaitu berkenaan pemotongan permutuan beras (padi) basah, Anwar berkata, kerajaan akan mengawal keadaan itu dengan melatih pegawai di Jabatan Pertanian yang akan ditempatkan secara khusus di kilang padi
“Ada komplen (aduan) mengenai kawalan pemotongan permutuan sebab kadangkala betul, tetapi kadangkala harga yang patut dipotong lima peratus tiba-tiba jadi 10 peratus.
“Saya sudah bincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang mana nanti kita akan melatih Pegawai Pertanian khusus yang akan ada di kilang-kilang swasta bagi memantau secara bebas.
“Ia supaya pengilang swasta tak potong beras basah ikut selera mereka, sebaliknya kena ada syarat tertentu. Berdasarkan perundangan, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) terpaksa beli beras basah (selaku pembeli akhir) kalau orang tak mahu beli dari pesawah, jadi Bernas kena membelinya,” katanya.