SEORANG kanak-kanak perempuan cedera parah, selepas diserang seekor lembu ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pada Rabu.
Menerusi rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV), kanak-kanak tersebut pada mulanya dilihat sedang berjalan bersama ibu dan adik lelakinya.
Video tular itu turut memaparkan dua ekor lembu turut berjalan di hadapan mereka sekeluarga.
Tidak semena-mena, salah seekor daripada lembu tersebut berpatah balik dan terus mengangkat kanak-kanak itu menggunakan tanduknya, sebelum menghempas badan kecil mangsa ke tanah.
Ibu dan adik mangsa yang panik dengan serangan itu dilihat melarikan diri tidak jauh dari lokasi kejadian dan hanya mampu menjerit meminta bantuan orang ramai.
Pada masa sama, kedua-dua lembu terbabit terus menyerang dan memijak mangsa yang tidak berdaya.
Apabila mendengar jeritan mangsa dan tangisan ibunya, orang ramai terus keluar dari rumah masing-masing serta bergegas menyelamatkan mangsa.
Beberapa orang lelaki dilihat cuba menakut-nakutkan haiwan yang berang itu dengan membaling batu dan membuat bunyi bising.
Cows attack harmless little girl in MMDA, #Chennai. @chennaicorp Cows roaming on the streets are a big menace and a threat to motorists and walkers. Please take action against the cow owner! #Cow #CowAttack@CMOTamilnadu @UpdatesChennai pic.twitter.com/wdV5LD0iyw
— Ajay AJ (@AjayTweets07) August 10, 2023
Namun, haiwan itu tidak henti-henti menyerang dan terus memijak mangsa.
Lembu-lembu tersebut hanya melarikan diri apabila dihalau seorang lelaki yang memegang kayu.
Kanak-kanak itu kemudian berjaya diselamatkan dan sedaya-upaya mencuba untuk berdiri.
Dia kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan, punca serangan itu adalah disebabkan haiwan tersebut berang dengan bunyi yang dibuat adik mangsa.
Sementara itu, haiwan terbabit dilapor milik penduduk yang tinggal berdekatan dengan lokasi kejadian di Chennai, dekat Tamil Nadu, India.
Setakat ini, masih belum ada sebarang laporan dibuat keluarga mangsa berhubung kejadian itu. –Agensi