CYBERJAYA: Umum mengetahui bahawa restoran dan premis makanan adalah kawasan larangan merokok demi menjaga kepentingan kesihatan awam.
Tidak kira apa jua status seseorang, larangan itu wajib diguna pakai oleh rakyat, anggota pihak berkuasa, orang kenamaan malah ahli politik sekali pun.
Namun, masih wujud sebilangan individu dilihat seolah-olah tidak mengendahkan larangan itu, apabila selamba menghisap rokok di premis makanan.
Baru-baru ini, tular di media sosial video calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ishak Mat sedang merokok dan bersarapan di sebuah gerai bersama beberapa individu lain.
Namun, beliau terus membuang puntung rokok tersebut, selepas menyedarinya dirinya sedang dirakam untuk ditemuramah.
Ishak bagaimanapun dilihat tenang memberi jawapan, ketika ditanya tentang perancangannya untuk menjana ekonomi penduduk Baling, Kedah.
Ishak merupakan calon yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Sabtu depan.
https://twitter.com/malaysiaviralll/status/1688029946059653120?s=46&t=vDiRdA6bNWeY1Knj_Il6wQ
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019.
Ini merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.
Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020, mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.
Bagi kesalahan kedua, bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan, manakala sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.