HomeBeritaKerajaan batal projek lapangan terbang Tioman

Kerajaan batal projek lapangan terbang Tioman

CYBERJAYA: Kabinet memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan pembinaan lapangan terbang baru di Pulau Tioman, yang mana 76 peratus tapak projek, atau 65.77 hektar, akan melibatkan tanah tambak.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan tu selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

Dia berkata 1,412 maklum balas awam telah diterima berhubung laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek itu, yang dipamerkan bermula 21 Jun hingga 21 Julai lalu.

“Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada 9 Ogos 2023, kementerian mendapati cadangan lapangan terbang baru berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif (sensitive receptor) di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan.

“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baru adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang baru tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata Pulau Tioman adalah kawasan perlindungan marin selain menempatkan hutan hujan asli, serta menjadi rizab hidupan liar.

“Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara,” katanya lagi.

Projek pembinaan lapangan terbang baru itu mula disuarakan sejak akhir 2000-an. Ia dicadangkan oleh sebuah usaha sama antara Tioman Hill Resort Sdn Bhd milik Berjaya Group dan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kerabat diraja Pahang.

Beberapa tahun kebelakangan ini, projek itu dimasukkan dalam beberapa rancangan pembangunan pusat dan negeri. Namun, laporan EIA projek hanya siap awal tahun ini.

Jika projek itu diteruskan, ia akan menyebabkan perubahan drastik sempadan taman marin Tioman dan menjejaskan kehidupan mereka yang tinggal di dua kampung berdekatan lapangan terbang. – Malaysiakini

Authors

Pilihan Editor