HomeGlobalKes tikam orang awam: Lelaki ini kongsi 9 lokasi 'bahaya' di Korea...

Kes tikam orang awam: Lelaki ini kongsi 9 lokasi ‘bahaya’ di Korea Selatan

KEJADIAN tikam secara rawak dalam kalangan orang awam yang tercetus di Korea Selatan membuatkan rata-rata penduduk di negara itu bimbang akan keselamatan mereka.

Malah, individu yang memasuki negara itu atas faktor urusan kerja atau melancong takut untuk keluar kerana berkemungkinan menjadi mangsa tidak berdosa yang seterusnya ditikam.

Baru-baru ini, seorang rakyat Korea, Sean Jo memuat naik video berkongsi tentang sembilan lokasi yang sebaiknya tidak dijejaki orang ramai buat masa ini ekoran kes tikaman secara rawak.

Menurutnya, sembilan lokasi itu merangkumi empat bandar iaitu Seoul, Seongnam, Busan dan Uijeongbu.

Berikut adalah sembilan kawasan yang disenaraikan :

1. Gangnam Station, Seoul
2. Office of the President, Seoul
3. Hanti Station, Seoul
4. Jamsil Station, Seoul
5. Nonhyeon Neighbourhood, Seoul
6. Ori Station, Seongnam
7. Seohyeon Station, Seongnam
8. Seomyeon Station, Busan
9. Uijeongbu Station, Uijeongbu

Sebelum ini, media melapokan bahawa Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senjata api untuk meredakan keadaan dan memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Inisiatif keselamatan itu dilancarkan untuk menangani keganasan berkaitan pisau.
“Serangan yang menggunakan pisau di Stesen Seohyeon adalah satu tindakan keganasan terhadap rakyat yang tidak bersalah.

“Kerajaan mesti menggerakkan semua pasukan polis untuk memastikan orang ramai tidak berasa cemas,” kata Yoon dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jeneral Agensi Polis Kebangsaan, Yoon Hee Keun berkata, polis secara aktif akan menggunakan peruntukan imuniti untuk penguatkuasaan undang-undang berdasarkan keselamatan awam.

“Pencarian dan soal siasat terpilih akan dijalankan mengikut undang-undang untuk suspek yang membawa pisau atau mempamerkan tingkah laku luar biasa,” katanya.

Manakala Kementerian Kehakiman Seoul pula menyatakan mereka sedang mengkaji cadangan untuk memperkenalkan hukuman seumur hidup yang tidak boleh diberikan keampunan dalam undang-undang jenayah sebagai tindak balas kepada jenayah kejam itu.

Untuk rekod, seramai 14 orang cedera selepas seorang lelaki mengamuk dan cuba menikam orang awam berhampiran stesen kereta api bawah tanah, Seohyeon di Bundang.

Difahamkan, penyerang memandu kereta ke laluan pejalan kaki sebelum menyerang orang ramai di kedai serbaneka.

Suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an telah menikam sembilan orang dan mencederakan lima yang lain.

Statistik menunjukkan Korea Selatan secara amnya merupakan negara yang sangat selamat, dengan kadar pembunuhan 1.3 bagi setiap 100,000 orang pada 2021.

Sebaliknya, purata global ialah enam kematian bagi setiap 100,000 orang menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Namun, insiden yang berlaku baru-baru ini di Korea Selatan mencetuskan kebimbangan orang ramai dan mendapat perhatian dunia.

Author

Pilihan Editor