IPOH: Sejumlah 55 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM18,713 dirampas di sebuah kedai dobi di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham, di sini, selepas dikesan digunakan premis terbabit tanpa lesen.
Rampasan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak susulan serbuan kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Pengarah KPDN negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, semua 55 tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg membabitkan pelbagai jenama itu ditemui ketika pemeriksaan di dalam sebuah stor simpanan LPG di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu sedang beroperasi dan menjalankan perniagaan dobi mencuci cadar dan tuala daripada hotel. Seorang wanita berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pembantu premis berada di lokasi ketika serbuan.
“Wanita itu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang lesen CSA (Akta Kawalan Bekalan) bagi borong atau runcit, ataupun permit barang kawalan berjadual LPG apabila diminta semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut dijalankan ke atas syarikat pembekal LPG ke premis itu dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pembekalnya kerana disyaki melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan kepada orang atau pihak yang tidak mempunyai lesen atau surat kuasa atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia. – Berita Harian