HomeBeritaMahkamah & JenayahLelaki diburu bantu siasatan kes kejar, tembak di Jalan Kepong

Lelaki diburu bantu siasatan kes kejar, tembak di Jalan Kepong

KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian menembak dua lelaki di Jalan Kepong, di sini pagi tadi.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Ganeshan Olakanathan, 40, disyaki dapat membantu siasatan bagi menjejaki dua suspek yang berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kejadian berlaku dari Pintasan Segambut melalui Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong, di sini, yang jaraknya lebih kurang dua kilometer, lapor Kosmo.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan.

“Anggota polis cuba menahan kenderaan tersebut, tetapi suspek melarikan diri sebelum melanggar kenderaan awam setelah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Suspek kemudian mengundurkan kereta dan melanggar anggota URB sehingga cedera.

“Bagi mempertahankan diri, dua anggota URB melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kereta suspek sehingga terbabas ke tepi jalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang sudah dikenal pasti identiti itu melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan dan kini dalam buruan polis.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, siasatan mendapati kereta itu milik seorang wanita yang meminjamkan kenderaannya kepada seorang lelaki.

“Tiada barangan yang boleh dikaitkan dengan aktiviti jenayah ditemui dalam kereta itu, tetapi ada besi buruk disyaki hasil curi.

“Kita tidak tahu sama ada Ganeshan merupakan suspek atau tidak kerana keputusan forensik masih belum diterima. Tetapi lelaki ini mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah.

“Buat masa ini, beberapa kereta orang awam mengalami kerosakan akibat dilanggar suspek, namun tiada aduan yang diterima berkaitan kerosakan akibat tembakan yang dilepaskan,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307/353 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial sejak pagi tadi mengenai sebuah video yang memaparkan kejadian tembakan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Di dalam video itu, kelihatan tiga anggota polis sedang melepaskan tembakan terhadap kereta Proton Wira yang cuba melarikan diri sewaktu kesesakan lalu lintas.

Author

Pilihan Editor