HomeBeritaManjung penyumbang terbesar aliran trafik, lebuhraya WCE lokasi Jelajah Konvoi Merdeka

Manjung penyumbang terbesar aliran trafik, lebuhraya WCE lokasi Jelajah Konvoi Merdeka

CYBERJAYA: Daerah Manjung, Perak menyumbang 60 peratus aliran trafik keseluruhan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ketika ini.

Ini sekali gus menyaksikan daerah itu sebagai penyumbang terbesar trafik WCE khususnya di jajaran Perak iaitu dari Hutan Melintang ke Beruas.

Mengambil kira jumlah trafik tertinggi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bekerjasama dengan lebuhraya WCE sebagai lokasi persinggahan Jelajah Konvoi Kembara Merdeka dan Jalur Gemilang pada Khamis.

Jelajah itu dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan, menyemai semangat perpaduan serta cintakan negara sempena Hari Kebangsaan ke-66.

“Sebanyak 25 buah kereta serta motosikal berkuasa tinggi telah mengambil bahagian dalam konvoi tersebut, sebagai simbolik komitmen IPD Manjung dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan bersama komuniti setempat,” kata WCE dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, WCE berkata, jelajah konvoi turut singgah di Pejabat Pengurusan WCE Wilayah Perak di Ayer Tawar untuk mendengar sesi taklimat berhubung operasi Lebuhraya WCE dan perkembangan terkini pembinaan lebuh raya, khususnya di Seksyen 11.

Lebuh raya terbabit kini mencapai kemajuan 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

WCE berkata, purata trafik menyaksikan sebanyak 865,000 kenderaan sebulan yang menggunakan Lebuhraya WCE jajaran Perak dan ia dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini.

“Ini berikutan pembinaan Seksyen 11 dari Beruas ke Taiping Selatan, jajaran Seksyen 1 & 2 (Banting – SKVE – SAE/KESAS) serta Seksyen 6 (Kapar – Assam Jawa) bakal siap tidak lama lagi,” katanya.

Pada kemuncak jelajah itu, WCE berkata, tetamu kehormat dan peserta konvoi mengedarkan Jalur Gemilang di Plaza Tol WCE Changkat Chermin, sebagai simbolik untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara, selain menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan pengguna lebuh raya.

“Penganjuran jelajah ini juga melambangkan semangat perpaduan dan kerjasama erat yang terjalin antara IPD Manjung dengan Lebuhraya WCE dalam memastikan keselamatan pengguna di jalan raya.

“Kerjasama ini bukanlah kali pertama diadakan kerana banyak program lain pernah dijalankan sebelum ini seperti OP Selamat pada setiap musim perayaan, serta Ops Banteras Lumba Haram bagi menjamin keselamatan pengguna lebuhraya,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor