HomeBeritaMaut kepala digilis treler

Maut kepala digilis treler

IPOH: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas akibat tergelincir sebelum kepalanya digilis treler di Jalan Lahat, berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh di sini, malam tadi.

Kejadian jam 7.10 malam tadi mengakibatkan G Jesuklal, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata siasatan mendapati motosikal Honda Wave Alpha ditunggang mangsa dipercayai terbabas ketika melalui jalan licin dan basah akibat hujan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mangsa bersama motosikal ditunggang terperosok ke bawah treler jenis Volvo tanpa muatan dipandu lelaki berumur 40 tahun dari Kuala Lumpur menghala Jelapang.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di kepala akibat digilis tayar belakang kanan treler dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Pemandu treler bagaimanapun tidak cedera dan disahkan bebas daripada pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor