PETALING JAYA: “Semoga halangan ini ada hikmah di sebaliknya dan muncul pada waktu sesuai perancangan Tuhan.”
Itulah yang diungkap pelakon, Mimi Lana berhubung berita pembatalan majlis pernikahannya bersama pelakon, Syafiq Kyle yang dijadual berlangsung pada 18 Ogos 2023.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, keputusan itu adalah pertimbangan terbaik buat mereka berdua.
Mimi akui bahawa setiap yang berlaku adalah ujian untuk menjadikan mereka berdua sebagai insan yang lebih baik.
“Semoga Allah merahmati saya dan dia (Syafiq) serta memberikan kekuatan kepada kami.
“Mungkin apa kami percaya perkara paling buruk itulah sebenarnya yang terbaik untuk kami di dunia dan akhirat.
“Semoga Allah memberi kami kekuatan dan kesabaran untuk terus melangkah,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram.
Semalam, Mimi dan Syafiq mengejutkan ramai pihak apabila majlis pernikahan dan resepsi yang dijadualkan berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang pada 18 Ogos dibatalkan.
Mesej pembatalan pernikahan Mimi dan Syafiq yang hanya berbaki seminggu itu disampaikan pengurus aktres itu, Iman Tang.
Meskipun terpaksa berhadapan ujian getir, Mimi dalam pada masa sama tetap positif dan bersyukur dikelilingi keluarga, sahabat dan mereka berhati mulia.
“Semoga Allah sentiasa membuatkan kami berada dalam keadaan positif dan dikelilingi insan yang mempunyai niat baik dalam hati.
“Setiap titisan air mata yang mengalir menjadi penghapus dosa, semoga doa yang dipanjatkan dimakbulkan.
“Semoga awak dan saya sentiasa tersenyum,” ujarnya.