CYBERJAYA: Keriangan seorang kanak-kanak berubah menjadi muram selepas mendapati kotak yang disangka mengandungi ayam goreng McDonalds ternyata hanyalah sebungkus roti serta air kotak.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut menyertai sebuah program peringkat negeri yang dianjurkan oleh jabatan pendidikan negeri.
Menerusi Facebook seorang guru dikenali sebagai Abdul Muiez berkongsi luahan seorang penjaga terkilan dengan nasib pelajar yang mengikuti program tersebut selepas mengetahui isi dalam kotak itu.
“Saya dihubungi oleh seorang penjaga yang mana anaknya terlibat dalam satu program peringkat negeri yang dianjurkan oleh jabatan pendidikan negeri.
“Mula-mula pandang kotak, bukan main riang anak dan kawan-kawannya. Sekali buka, terus berubah muka. Begitulah harapan yang dicapati,” tulisnya.
Muiez turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama penjaga berkenaan mengenai situasi yang berlaku.
“Tak dapat bayangkan jika ada salah seorang daripada kanak-kanak itu yang berharap itu adalah McD sebenar. Harap penganjur lebih prihatin, terima kasih.
“Anak cerita ada seorang budak tu tadi, berubah betul muka bila buka kotak tu, yang sebelum ini dia nampak amat gembira. Jangan bagi harapan palsu kepada kanak-kanak,” kata penjaga itu.
Dalam pada itu, cikgu Muiez tidak menyangka isu ini mula mendapat perhatian umum malah, ramai pihak telah menghubunginya mengenai isu terbabit.
“Status ni dah viral teruk, reach dah puluh ribu. Sampai pegawai KPM, JPN pun hubungi saya.
“Saya bukan nak sangat tulis dalam FB, sebelum saya tulis, saya dah hubungi PIC seperti yang ada dalam surat.
“Tapi hanya dapat bluetick. Jawab salam pun tidak. Saya bukanlah nak jawapan spesifik. Cukuplah dengan jawab salam dan cakap ‘nanti kami akan siasat’. Itu saja.
“Ada juga jawapan saya nak bagi dekat bapa yang bertanya tu. tapi tulah, bila senyap macam mana masalah nak selesai? begitulah,” jelasnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook meluahkan rasa kesal dengan sifat tidak bertanggungjawab pihak berkenaan.
“Dengan budak pun kau nak makan komisyen. Aku fikir memang bajet dari atasan cukup untuk beli McD. Sampai ke pihak bawah, dia order kotak kosong dekat McD, isi barang murah dalam. Susah bila kuat korup ni. Tak amanah,” selar netizen.
“Kalau penganjur beli McD pastu guna pakai balik kotak tu letak roti dan air kotak memang tak logik sangat.. tapi kalau dah sengaja beli kotak dan bungkusan McD semata-mata nak letak roti dan air kotak ni untuk budak-budak memang niat nak menipu budak-budak. Memang jenis hati busuk,” komen netizen.
“Apa benda la. Tak payahlah bagi dalam kotak McD. Boleh je letak dalam paper bag biasa. Atau memang dapat ayam tapi ayamnya entah ke mana. Better email McDonalds juga dapatkan penjelasan. Macam mana boleh bagi kotak kat depa ni,” kongsi netizen.