PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini, melancarkan Pakej 5G RAHMAH yang menawarkan telefon pintar dan pelan data pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran.
Pakej itu merangkumi telefon pintar 5G yang ditawarkan dengan potongan harga lebih 75 peratus berbanding harga pasaran, berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60 gigabait (gb).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Pakej 5G RAHMAH terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan ditawarkan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember depan.
Beliau berkata, menerusi pakej itu, syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (Unifi Mobile) dan YTL Communications (YES) menawarkan pakej telefon pintar bersama kontrak langganan pelan pascabayar selama 24 bulan.
Katanya, bagi 100,000 pelanggan daripada golongan B40 terawal pula layak mendapat subsidi tambahan sebanyak RM120 ke atas harga telefon pintar yang ditawarkan syarikat telekomunikasi.
“Pakej 5G RAHMAH menawarkan pilihan telefon pintar 5G kepada pengguna, sama ada jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G pada harga RM240, berbanding harga pasaran iaitu masing-masing RM949 dan RM1,099, berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan bagi data minimum 60GB.
“Tawaran istimewa turut dikemukakan kepada golongan B40, yang mana 100,000 pelanggan terawal daripada golongan B40 layak mendapat subsidi tambahan sebanyak RM120 ke atas harga telefon pintar.
“Penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga boleh menyediakan harga telefon pintar lebih rendah atau pelan pascabayar yang lebih baik berdasarkan promosi jualan masing-masing,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Pascabayar RAHMAH Penjawat Awam di sini, hari ini. – Berita Harian