SEORANG lelaki hanya meminta sedikit wang pampasan, selepas seorang pembawa beca warga emas mencalarkan kereta mewah dipandunya yang bernilai AS$620,000 (RM2.9 juta).
Pembawa beca itu pada mulanya mahu melarikan diri selepas mendapat tahu kerosakan yang perlu diperbaiki kereta jenis Ferrari itu dianggarkan bernilai AS$14,000 (RM65,190).
Namun, pemandu kereta dikenali sebagai Gan yang berasal dari Shanghai, China sebaliknya hanya meminta warga emas itu pampasan bernilai AS$26 (RM121).
Gan berkata, dia akan menggunakan wang miliknya sendiri untuk menanggung kos selebihnya bagi membaiki kereta itu yang bernilai AS$13,714 (RM63,859).
Pada masa sama, Gan mendapat tepukan gemuruh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kerana bersikap tolak-ansur dan tidak memalukan pembawa beca tersebut.
Sebelum ini, tular video memaparkan terdapat kemalangan kecil antara kereta mewah itu dan beca dibawa warga emas tersebut di sebuah lintasan zebra.
Selepas berbual ringkas, Gan menghubungi polis tempatan apabila melihat pembawa beca itu mahu beredar.
Gan berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8 malam pada 15 Ogos lalu mengakibatkan badan dan sisi cermin kereta itu tercalar.
“Dia mahu beredar pergi, tetapi saya menghalangnya,” kata Gan seperti dilapor South China Morning Post.
Polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengarahkan warga emas itu supaya dia harus bertanggungjawab sepenuhnya atas nahas tersebut.
Tambah Gan, dia tidak mahu menyusahkan pembawa beca itu dan sudah pun menerima permohonan maaf serta ganti rugi seperti dipinta.
Katanya, Ferrari itu merupakan milik syarikat yang menjalankan perniagaan sewa kereta mewah, manakala dia sedang melakukan ujian pemanduan ke atas kenderaan tersebut ketika kejadian.