HomeBeritaPITAS, JAIS akan kerjasama sediakan garis panduan jemputan pelajar tahfiz

PITAS, JAIS akan kerjasama sediakan garis panduan jemputan pelajar tahfiz

SHAH ALAM: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mewujudkan garis panduan khusus untuk menguruskan jemputan pelajar tahfiz ke program-program tertentu.

Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, sebelum ini JAIS sudah mewujudkan Buku Peraturan Murid (Sistem Pembangunan Sahsiah Murid) bagi intitusi tahfiz persendirian, namun tiada garis panduan khusus berkaitan jemputan pelajar ke program luar.

“Jadi kami nampak mungkin kita boleh duduk bersama JAIS (berbincang) supaya garis panduan khusus boleh dikeluarkan berkaitan isu ini.

“Adanya garis panduan, maahad tahfiz dan sekolah agama juga akan lebih cakna dan berhati-hati dalam memenuhi jemputan luar. Ini juga bukan kes pertama yang mana ketika Ramadan lalu, ada juga kes pelajar tahfiz dijemput ke majlis berbuka puasa dan selepas itu ada majlis tari menari.

“Kita juga berharap orang ramai tidak menjemput pelajar tahfiz ke tempat yang tidak sesuai seperti konsert, kasihan dengan pelajar. Jika ada majlis bacaan yasin dan doa, selesaikan dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Muhammad Hafiz berkata sedemikian ketika mengulas isu pelajar tahfiz dijemput hadir ke sebuah konsert di Shah Alam baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelajar-pelajar berkenaan adalah penghuni rumah kebajikan dan bukan daripada sekolah tahfiz seperti yang ditularkan.

“Bila kita lihat balik sebenarnya sekolah ini bukan sekolah tahfiz macam kita, ia lebih kepada pusat kebajikan kepada pelarian Rohingya dan Burma yang dikenal pasti terletak di Taman Tun Dr Ismail dan ia disahkan oleh individu yang menjemput.

“Sebenarnya ada beberapa tahfiz dan pusat kebajikan lain dijemput ke acara itu tapi untuk makan pada waktu petang sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu yang kononnya 200 sekolah agama di Selangor ditutup, beliau berkata perkara itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

“Berikan fakta sekolah di mana yang menerima arahan tutup, perkara ini saya sahkan sendiri dengan Pengerusi Gabungan Sekolah Islam Selangor. Mereka juga terkejut dari mana datang kenyataan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, PITAS menaungi lebih 400 yang didaftarkan dibawah JAIS sebelum program pemutihan yang mula dijalankan pada 2021. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor