HomeBeritaPolitikPN mungkin guna tema, logo Hari Kebangsaan berbeza di 4 negeri

PN mungkin guna tema, logo Hari Kebangsaan berbeza di 4 negeri

KERAJAAN Persekutuan sudah pun mengumumkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 sejak Mei lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fahmi berkata, tema bagi HKHM 2023 adalah ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Katanya, logo Malaysia MADANI diangkat menjadi logo rasmi sambutan HKHM 2023, yang memiliki reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’.

Sementara itu, negeri-negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) pula mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, pada Sabtu.

Beliau berkata, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan, serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

“Logo ini adalah untuk sambutan rasmi Hari Kebangsaan PN sama ada digunakan dalam ucapan pimpinan (PN), khususnya peringkat Pemuda dan parti yang bernaung di bawah PN.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri yang berada di bawah PN juga akan menggunakan tema sama, cuma saya tak boleh bercakap bagi pihak kerajaan negeri.

“Bagi Pemuda PN, kita akan cuba bertemu kerajaan negeri sebab mereka pasti ada persiapan masing-masing. Kalau belum terlewat, kita tidak menolak kemungkinan bertemu kerajaan negeri di bawah PN untuk guna tema dan logo yang sama (untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ditanya sama ada tindakan menggunakan logo serta tema berbeza itu dilihat sebagai tindakan PN mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan, Ahmad Fadhli yakin rakyat boleh menerima tindakan seperti itu.

“Rakyat boleh menerima tindakan seperti ini, yang dicerminkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, bahawa rakyat menerima langkah politik daripada PN,” katanya.

Author

Pilihan Editor