POLIS tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan bagi membantu siasatan insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan bola sepak di sebuah stesen minyak selepas perlawanan akhir Liga Super pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ia berdasarkan siasatan dijalankan dan penahanan 20 lagi individu yang disyaki terbabit dengan insiden itu.
“Polis tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan dibuat berdasarkan siasatan yang dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi Pegawai Penyiasat di talian 01119078888 bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Mosh pit dah ada dekat shell ke? pic.twitter.com/SER3qVgnQQ
— keem (@AkeemSharyzal) August 23, 2023
Insiden jam 11.20 malam itu berlaku di sebuah stesen minyak berhampiran Stadium Bandaraya, selepas tamat perlawanan Liga Super antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Kejadian dipercayai berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium selepas tamat perlawanan bola sepak.
Seramai tujuh individu ditahan yang mana dua daripadanya mengalami cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu ketika pergaduhan itu, manakala 20 lagi direman di Mahkamah Majistret Georgetown di Pulau Pinang selama tiga hari.
Menurut Soffian, ujian saringan air kencing terhadap 20 suspek didapati negatif daripada pengambilan dadah.
“Dua daripadanya mempunyai rekod lampau membabitkan dadah,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.