HomeBeritaPolitikPRN: KJ luang masa bantu kempen calon PN Jeram

PRN: KJ luang masa bantu kempen calon PN Jeram

 

KUALA LUMPUR: Berbaki sekitar empat hari lagi menjelang pilihan raya negeri (PRN), Khairy Jamaluddin dilapor membantu berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan di Puncak Alam, Shah Alam pada Isnin.

Menerusi satu rakaman video yang tular di TikTok, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, Harisson boleh menjadi wakil rakyat yang baik bagi mewakili kerusi berkenaan.

Khairy juga menyifatkan Harisson mempunyai ciri-ciri pemimpin yang berkaliber kerana berpengalaman, rajin serta berpendidikan.

“Kenapa? Sebab saya kenal dia lebih 20 tahun. Kami sama-sama masuk UMNO, belia sebagai Setiausaha Kerja Pemuda UMNO pada waktu itu, dan saya sebagai Exco Pemuda UMNO.

“… dan memang daripada awal lagi saya menjangkakan antara rakan sebaya yang akan pergi jauh dalam politik adalah Datuk Harisson,” katanya memetik rakaman video berkenaan, lapor Astro Awani.

Sementara itu, Harisson dalam kemas kini di laman Facebooknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Khairy kerana meluangkan masa untuk memberikan sokongan moral kepadanya.

Harisson yang merupakan bekas timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh dipecat daripada UMNO selepas beliau diumumkan sebagai calon bagi DUN Jeram mewakili PN.

Harrison berdepan saingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jahaya Ibrahim bagi kerusi DUN Jeram.

Sebelum ini, Khairy turut ditawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, jika bekas Ahli Parlimen Rembau menyertai parti itu.

Tawaran itu dikemukakan selepas Khairy dipecat UMNO, bagaimanapun bekas Menteri Kesihatan itu memohon “masa tambahan” untuk memikirkan tawaran menyertai Bersatu yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Author

Pilihan Editor