CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan garis panduan pengurusan pengundi COVID-19 positif pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada pengundi COVID-19 positif untuk menjalankan kewajiban mengundi, selain mengurangkan risiko penularan jangkitan wabak itu semasa tempoh tersebut.
Muhammad Radzi berkata, individu COVID-19 positif berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima mesej daripada aplikasi MySejahtera bermula Khamis sehingga Sabtu ini.
Beliau berkata, mesej tersebut akan memaklumkan mengenai keperluan pengundi COVID-19 menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau petugas kesihatan berdekatan pusat mengundi sebelum mereka hadir ke pusat mengundi.
“Tujuan pemakluman adalah untuk memastikan petugas kesihatan di daerah terlibat bersiap sedia dalam pengurusan pesakit COVID-19 di pusat mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Muhammad Radzi berkata, pengundi COVID-19 positif juga hendaklah hadir di pusat mengundi dua jam sebelum tamat tempoh mengundi di pusat mengundi.
Menurutnya, ini bertujuan meminimakan risiko percampuran dengan pengundi-pengundi lain.
“Pengundi COVID-19 positif juga diingatkan supaya tidak menggunakan kenderaan awam dan dikehendaki memakai pelitup muka sepanjang masa di pusat mengundi, melainkan semasa pengenalan diri yang memerlukan pelitup muka dibuka ketika di tempat mengundi.
“Malah, pengundi COVID-19 positif juga dinasihatkan agar menjaga penjarakan fizikal yang selamat sepanjang masa, terutamanya apabila berhadapan dengan petugas ketika pelitup muka dibuka,” katanya.
Setelah selesai mengundi, katanya, pengundi COVID-19 positif hendaklah segera meninggalkan kawasan mengundi dan meneruskan pengasingan diri sehingga tamat tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO).
Beliau berkata, mereka yang sedang menerima rawatan di hospital dibenarkan discaj atas risiko sendiri untuk mengundi, dengan syarat mematuhi prosedur ditetapkan.
Bagaimanapun, tambah Muhammad Radzi, pihak hospital tidak akan menyediakan kemudahan pengangkutan manakala pesakit hendaklah menggunakan kenderaan sendiri untuk ke pusat mengundi.
“Pesakit COVID-19 positif perlu meneruskan pengasingan diri sehingga tamat tempoh HSO di tempat kediaman atau tempat pengasingan yang ditetapkan sebaik sahaja selesai mengundi,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Radzi berkata, semua pengundi lain dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan penjarakan dan mencuci tangan dengan pensanitasi, memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak.
Beliau berkata, para pengundi disarankan untuk segera mendapatkan dos penggalak COVID-19 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.
“Kerjasama semua pihak termasuk individu dan masyarakat dalam bersama-sama menangani penularan jangkitan COVID-19 adalah sangat dihargai.
“KKM sentiasa memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optima,” katanya.