HomeBeritaProsiding PAC: Ambil tindakan tegas, bukan sekadar umum nama - Hasan

Prosiding PAC: Ambil tindakan tegas, bukan sekadar umum nama – Hasan

PUTRAJAYA: Mana-mana pegawai kerajaan atau pesara yang enggan menghadiri, tidak bercakap benar serta gagal memberi kerjasama dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), perlu dikenakan tindakan tatatertib lebih tegas.

Bekas Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, ia kerana mereka tertakluk kepada Seksyen 9 (a) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

“Saya menyokong mereka yang enggan hadir prosiding PAC, didedahkan nama mereka kepada umum supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain untuk tidak mengambil ringan hal ini.

“Setakat saya menjadi pengerusi dahulu, kita memang memberi peringatan kepada pegawai berkenaan, jika mereka tidak datang atau tidak bercakap benar, itu adalah kesalahan besar dan akhirnya mereka hadir,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa itu akan menyiarkan kepada umum nama saksi yang enggan hadir dalam prosidingnya supaya rakyat mengetahui bahawa isu disiasat jawatankuasa itu tidak mendapat kerjasama daripada individu berkenaan.

Malah, PAC menuntut Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengambil maklum sekiranya terdapat bekas pegawai dan Ketua Setiausaha (KSU) yang enggan hadir dalam prosiding jawatankuasa terbabit.

Justeru, beliau mengingatkan semua bekas pegawai dan KSU perlu hadir ke prosiding PAC bagi menjelaskan isu yang timbul semasa mereka menerajui kementerian, jabatan atau agensi kerajaan terbabit.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, biarpun sudah bersara, mana-mana bekas pegawai kerajaan yang enggan beri kerjasama kepada PAC boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Akta Parlimen termasuk menjejaskan pencen diterima mereka.

“Tindakan mendedahkan nama mereka yang enggan hadir atau beri kerjasama dalam prosiding PAC ini adalah tindakan yang baik.

“Saya berharap PAC akan mengambil tindakan lebih tegas, bukan sekadar mendedahkan nama individu terbabit kepada umum,” katanya.

Author

Pilihan Editor