KOTA BHARU: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan ketiadaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada ceramah malam tadi kerana menghadiri mesyuarat penting.
Timbalan Presiden PAS itu turut menafikan dakwaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu ditangkap polis.
“Tak betul tu (dakwaan ditangkap). Beliau tidak hadir ceramah kerana ada jadual bertembung dengan mesyuarat penting,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Terdahulu, ketiadaan Muhammad Sanusi yang dijadual hadir pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama Menteri Besar di Padang Awam Taman Ria di sini, malam tadi menyebabkan ribuan penyokong kecewa.
Mengikut poster yang dikongsi di akaun Facebook Muhammad Sanusi, beliau sepatutnya menyampaikan ceramah dan berkempen bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan Hamimi yang mengumumkan ketiadaan Menteri Besar pada program itu menjelaskan, Muhammad Sanusi tidak dapat hadir kerana dinasihatkan untuk tidak hadir pada ceramah berkenaan.