HomeBeritaPolitik'Saya bantu calon, bukan parti' - KJ

‘Saya bantu calon, bukan parti’ – KJ

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan kehadiran beliau pada kempen calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Harisson Hassan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, baru-baru ini, bukan bertujuan untuk memilih parti.

Terdahulu, Khairy yang bersiaran secara langsung menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, mengesahkan kehadiran beliau pada kempen itu adalah sekadar untuk membantu calon.

“Ya, betul. Saya turun ke Jeram, baru-baru ini untuk membantu calon, bukan untuk memilih parti.

“Ramai yang kata saya turun membantu PN dan sebagainya, tetapi saya rasa dalam pertandingan negeri, ada ruang untuk kita sokong calon,” katanya lapor Berita Harian.

Khairy berkata, PRN tidak boleh hanya berkisar kepada bendera parti, sebaliknya tumpuan juga perlu diberikan kepada calon.

“Atas semangat itu, saya pergi ke Jeram kerana calon adalah Harisson dan ramai yang tidak tahu, selain sebagai kawan lama saya, kami sertai Pemuda UMNO pada akhir 90-an.

“Harisson juga adalah pencadang kepada saya ketika bertanding di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan beliau berada bersama saya setiap hari, setiap waktu… Jadi takkanlah saya tidak boleh membalas budi tanpa diserang oleh pentaasub Twitter yang menyatakan lebih baik saya diisytiharkan sebagai ahli Bersatu dan sebagainya,” katanya.

Malah, katanya, selepas ini, beliau akan menyokong dan turun berkempen bagi calon kerusi DUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Dia Barisan Nasional (BN), antara kawan baik saya dalam UMNO. Jadi saya akan pergi sokong Reezal kerana beliau adalah calon terbaik untuk Bertam.

“Saya ambil pendekatan dan pendirian itu. Saya sokong calon pada PRN,” katanya.

Author

Pilihan Editor