CYBERJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk memperbaiki nasib parti, selepas menyedari prestasi buruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.
Namun, Ahmad Zahid berkata, itu tidak bermakna bahawa beliau akan melepaskan jawatannya.
“Sedar tentang gesaan tersebut (meminta untuk berundur). Apa yang saya boleh jamin adalah saya, dengan bantuan kepimpinan parti akan melakukan lebih banyak perkara untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.
“Kami akan meneliti pendekatan dan strategi kami. Kami akan guna pakai yang baharu supaya kami boleh memenangi hati dan minda pengundi sekali lagi,” katanya seperti dilapor The Star.
UMNO mengalami kekalahan teruk pada PRN lalu, apabila parti itu hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Rakyat (DUN) yang ditandingi.
PRN turut menyaksikan UMNO kehilangan semua kerusi yang ditandingi di Terengganu dan Kedah, hanya menang dua di Pulau Pinang dan Selangor, satu di Kelantan manakala 14 kerusi lagi di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid sedar bahawa ada pihak dalam parti yang mahu beliau bertanggungjawab untuk melepaskan jawatannya.
“Ini bukan kali pertama Presiden UMNO didesak untuk berundur.
“Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga kepada Datuk Seri Najib Razak, apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami,” katanya.
Tun Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada 2019, setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), yang mana ketika itu Barisan Nasional (BN) menunjukkan prestasi buruk.
Pada 2018, Najib meletak jawatan sebagai Presiden UMNO selepas BN tewas pada PRU14.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, semua pemimpin UMNO mesti memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk BN.
UMNO adalah satu-satunya parti komponen BN yang mengambil bahagian dalam PRN kali ini.
“Walaupun saya bertanggungjawab ke atas keputusan pilihan raya seperti yang Johari tegaskan, ia sepatutnya menjadi tanggunggjawab bersama kepimpinan UMNO,” kata Ahmad Zahid.
Tambahnya, antara isu yang perlu diselesaikan ketika ini adalah kerjasama parti itu dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Disebabkan itu, katanya, terdapat ahli UMNO yang masih keliru dengan kerjasama tersebut dan mungkin menjejaskan parti dalam pilihan raya.
“Kami melakukan beberapa sesi perbincangan untuk menjelaskan perkara ini di peringkat bahagian. Mungkin mesej itu tidak sampai ke akar umbi atau mungkin perlu dijelaskan lagi di peringkat itu,” katanya.