CYBERJAYA: Penyelidik dari National University of Singapore (NUS) berjaya menghasilkan sotong cincin yang diperbuat daripada sayur-sayuran menggunakan cetakan 3D.
Menariknya, sotong berbentuk gelungan cincin itu dihasilkan dengan tekstur dan rasa daging yang seakan sama seperti daging sebenar, lapor New Atlas.
Laporan sama menyatakan NUS memulakan kajian daging berasaskan sayur kerana menyedari sumber makan laut akan berkurangan pada masa akan datang.
Perkara itu selaras dengan negara terbabit yang kini terpaksa mengimport bekalan makanan laut.
“Saya fikir sudah pasti bekalan makanan laut mungkin sangat terhad pada masa hadapan.
“Kita perlu bersedia dari sudut protein alternatif, terutamanya di Singapura, di mana lebih 90% ikan diimport,” kata Poornima Vijayan selaku wakil NUS.
Maklumnya, untuk menghasilkan sotong cetakan 3D itu, NUS menggunakan bahan mikroalga dan kacang hijau yang dicampurkan dengan minyak berasaskan tumbuhan mengandungi asid lemak omega-3 bagi memastikan ia berkhasiat untuk dimakan.
Jelasnya, oleh kerana sotong cincin itu berasaskan sayuran, ia boleh dimakan dengan selamat oleh mereka yang mempunyai alahan kepada makanan laut.
Mengulas lanjut, Poornima memberitahu pihaknya turut menguji sotong cincin itu dengan menggorengnya menggunakan ‘air-fryer’ dan mereka amat berpuas hati dengan rasa sotong tersebut.
Bagaimanapun, beberapa perubahan perlu dibuat oleh mereka sebelum sotong cincin itu memasuki pasaran untuk pengguna mencubanya.